Lelaki selamatkan isteri dan anak dari perompak


MANGSA dimasukkan ke ambulans sebelum dibawa ke hospital ketika kejadian di Taman Indah Jaya, Batu Empat, Sandakan. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
SANDAKAN: Tindakan berani seorang lelaki berjaya menyelamatkan isteri dan anaknya yang berada dalam kereta mereka dari dirompak oleh seorang lelaki di Lorong 62, Taman Indah Jaya dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Zabidi Md Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu tidak ada barang yang hilang dan mangsa adalah pasangan suami isteri berumur 35 dan 42 tahun.
Kejadian itu berlaku ketika si isteri hendak menghantar anaknya ke rumah pengasuh.
Menurutnya ketika masuk ke dalam kereta, seorang lelaki telah datang ke kereta wanita itu melalui sebelah penumpang bahagian hadapan dan bertanyakan di mana letaknya rumah seseorang yang ada disebut namanya.
Bila wanita itu menyatakan tidak tahu, lelaki itu masuk ke dalam kereta dan mengugut wanita itu supaya jangan berteriak kalau tidak mahu dicederakan, kata Zabidi.
Zabidi berkata si suami yang melihat kejadian dari rumah terus meluru ke kereta.
Lelaki itu bertindak memandu kereta itu untuk melarikan diri dengan wanita dan anaknya masih berada di dalam kereta.
Sebelum itu ia mengundurkan kereta dan melanggar pagar rumah hingga membolehkan wanita itu keluar dari kereta bersama anaknya.
Si suami kemudian bertindak memegang tengkok lelaki itu yang masih berada di dalam kereta, bagaimanapun lelaki itu dapat memandu kereta itu dan telah melanggar sebuah kenderaan lain yang di parkir di tepi jalan, katanya.
Beliau keluar dari kereta dan terus melarikan melarikan sebuah bas yang di parkir berdekatan.
Zabidi berkata polis yang bertindak selepas menerima laporan itu kemudian menemui bas berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan di Lorong 11 Taman Kenari di Batu 7.
Beliau berkata pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dalam keadaan stabil.
Menurutnya polis telah melancarkan gerakan memburu lelaki itu yang dipercayai warganegara Filipina berdasarkan pertuturannya ketika cuba melakukan rompakan.
Zabidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Saiful Adli di talian 013-5190045. - BERNAMA

0 ulasan: