Masa untuk perbaiki diri



BUKAN mahu mengikut trend semasa jauh sekali dipaksa, jelas Ziana Zain niat bertudung sudah ada dalam hatinya sejak bertahun-tahun lamanya. Bagaimanapun Ramadan kali ini menjawab kehendak dirinya itu. Percaya ini hadiah terbaik buat diri, perlu dia ingatkan diri agar tidak terlalu drastik menampilkan kelainan.
Cukup sekadar bersederhana, harapan Ziana juga agar keputusan ini mampu membawa dirinya ke tahap yang berbeza demi kebaikan. Bersyukur diberikan segala kemudahan untuk meneruskan niatnya ini, fokus Ziana kini hanya mahu memperbaiki diri.
Mendapat sokongan penuh daripada keluarga, wanita ini juga tidak lupa berterima kasih kepada peminat setianya yang tidak putus-putus mendoakan dia segera bertudung. Malah dia sendiri tidak menyangka di kala umurnya yang sudah mencapai 46 tahun perasaan yang dihadiahkan Allah membuka hatinya untuk bertudung.
“Bila saya letak gambar bertudung bersama anak-anak, saya lihat banyak komen positif. Memang saya tersentuh memandangkan ada di antara komen itu menyatakan dia memang sudah lama mendoakan saya bertudung.
“Saya anggap ini hadiah Ramadan terbaik buat saya. Memang tidak saya nafikan perasaan untuk bertudung itu sudah lama, akhirnya Allah buka hati saya, sehingga kini saya tidak akan tinggalkan rumah tanpa tudung," katanya ketika di temui di majlis Syawal Berlian Safi Rania Diamond di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dengan berita ramai artis bertudung kini, nampaknya Ziana juga tidak terlepas mendapat hidayah yang sama. Menolak mahu mengikut mana-mana artis, jujur dari hatinya Ziana, dia sangat selesa dengan imej terbaru. Jelasnya lagi, tidak ada salahnya lebih ramai artis bertudung kini memandangkan ia adalah sesuatu yang baik.
“Saya fikir ini satu kebetulan ramai artis bertudung kini, bagi saya sendiri niat saya itu telah lama. Pada bulan mulia ini semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah.
“Saya fikir ini perkembangan yang baik bila lebih ramai artis bertudung, tetapi saya tidak boleh komen banyak sebab setiap kesedaran itu berbeza untuk setiap insan," katanya.
Tidak menolak sudah memasang niat sejak lima tahun lalu, namun pada awal tahun ini perasaan untuk bertudung itu semakin kuat sehingga membolehkan dia membuat keputusan ini. Ziana turut tidak menolak permintaan ibunya untuk bertudung sejak awal Ramadan lalu sedikit sebanyak menyumbang kepada imej terbarunya kini.
“Sebenarnya ibu saya sudah menasihati agar bertudung dalam bulan baik ini, pada mula lagi saya sudah rasa seronok memakai tudung. Malah bila perasaan itu datang rasanya sukar untuk saya jelaskan.
“Orang pertama yang tahu adalah suami (Armin Zaharin) saya, memang dia seronok. Sudah lama dia mahu perubahan ini, tetapi dia tahu kesedaran itu harus datang dari dalam diri saya. Semuanya berlangsung lebih mudah bila kita tahu apa itu wajib dan harus dalam agama," katanya.
Bercakap soal karier, Ziana tidak pernah membayangkan dia tidak lagi bergelar penyanyi. Sehingga ke hari ini dia masih seorang yang sama. Tiada istilah hipokrit. Pintanya agar mereka di luar sana tidak mengharapkan perubahan drastik memandangkan dia tetap Ziana Zain yang sama.
“Saya akan terus menyanyi, seperti biasa. Selagi ada permintaan. Sehingga kini fokus karier dan keluarga tidak pernah menjejaskan saya.
“Malah untuk produk yang diwakili saya pula, pihak Safi Rania Diamond juga tidak lihat penampilan baru ini sebagai suatu masalah. Saya tidak pernah terfikir ini akan menjejaskan rezeki saya memandangkan rezeki itu ketentuan Allah," katanya.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain memang sudah dikenali sebagai ikon fesyen yang berjaya. Kata Ziana lagi tiada apa yang akan membataskan dia untuk terus tampil dengan fesyen terkini selagi mengikut batas agama.
“Tiada salahnya untuk seorang artis seperti saya mengikut perkembangan fesyen terkini. Setiap masa juga saya akan pastikan kemas kini fesyen terbaru.
“Buat apa mahu hipokrit, saya tetap Ziana yang sama. Jadi dari segi lain saya tidak akan ubah apa-apa tentang diri saya. Cumanya saya tahu saya masih awal bertudung jadi banyak perkara yang saya akan belajar," katanya.
MH 17
Pernah bergelar pramugari, jelas Ziana kisah tragik pesawat MH17 sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya. Penyanyi Madah Berhelah ini dia berharap agar Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mendapat penuh sokongan dari penduduk di negara ini.
“Ada di antara mereka itu rakan baik suami saya juga. Justeru, saya harap dalam keadaan begini, kita semua bersatu beri sokongan, jangan timbulkan spekulasi, hormati kaum keluarga mangsa," katanya.
Sehingga kini suaminya masih lagi bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut. Akui trauma dengan kejadian demi kejadian yang menimpa, namun itu tidak bermakna dia mahu suaminya Armin Zaharin untuk berhenti dari meneruskan khidmat bersama MAS.
“Kalau cakap soal mati, di mana-mana juga kita boleh mati, sebab itu saya tidak rasa kita perlu takut soal itu. Jadi kita tawakal. Apa yang berlaku ini sudah tertulis, kita doa sahaja yang terbaik," katanya.
Mengingati kembali bagaimana suaminya menerima berita ketika pepesawat itu terhempas di timur Ukraine berdekatan sempadan Russia pada 17 Julai lalu, Ziana agak terkejut melihat perubahan wajah suaminya ketika itu. Bukan mudah juga untuk Armin menerima berita ini memandangkan kesemua yang terlibat merupakan rakan sekerja.
“Pada mulanya dia diberitahu melalui telefon oleh rakan-rakannya, selepas itu dia suruh saya menukar siaran televisyen untuk melihat sendiri laporan berita antarabangsa.
“Kami berdua menggigil, terkejut kerana ramai di antara mereka merupakan kenalan. Sedihnya, ketika ini mereka sudah tiada. Kita doakan semoga jenazah mereka dapat diuruskan dengan baik," katanya.

0 ulasan: