Budak nakal julang Itali

Budak nakal julang Itali


PEMAIN Itali meraikan kejayaan ke final Euro 2012 setelah mengalahkan Jerman 2-1 semalam manakala gambar kecil menunjukkan gaya unik Mario Balotelli selepas menjaringkan gol kedua Azzurri. - AFP
WARSAW - Digelar 'budak nakal', Mario Balotelli bertukar watak sebagai wira buat Itali apabila dua jaringan menarik bintang Manchester City itu membolehkan Azzurri membenam Jerman 2-1 pada separuh akhir Euro 2012, semalam.
Tandukan kencang pada minit ke-20 dan sepakan padu pada minit ke-36 oleh Balotelli membuka laluan Itali mara ke perlawanan akhir menentang Sepanyol, Isnin ini.
Ia merupakan prestasi terbaik yang dipamerkan Balotelli sehinggakan dia tidak mampu dikekang oleh pertahanan Jerman.
Jerman cuba bangkit menerusi penalti Mesut Ozil pada masa kecederaan namun ia sudah terlambat untuk menyaksikan kebangkitan dramatik skuad Joachim Loew.
Begitupun Balotelli ternyata sudah sebati dengan sifat nakal apabila meraikan jaringan keduanya dengan menanggalkan jersinya.
Ini menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.
Mengulas tindakannya menanggal jersi, Balotelli berkata: "Jika ada sesiapa yang marah dengan cara saya meraikan jaringan ini, ia disebabkan mereka cemburu terhadap saya, cemburu dengan fizikal saya."
Tindakan Balotelli itu merupakan cara dia meluahkan emosi pada kejohanan itu, sebagai pemain kulit hitam yang menjadi mangsa perkauman daripada penyokong Croatia dan Sepanyol.
"Pada penghujung perlawanan (semalam) saya berjumpa ibu saya dan memberitahu dia jaringan ini adalah untuknya.
"Ini adalah hari yang cukup indah buat saya namun saya harap Ahad ini akan menjadi lebih baik," kata Balotelli. - AGENSI

0 ulasan: