Fabregas raja penalti ( Euro 2012 )

Fabregas raja penalti


DONETSK, Ukraine - Empat tahun selepas menyempurnakan penalti kemenangan untuk pasukannya pada Euro, Cesc Fabregas sekali lagi membawa generasi emas Sepanyol ke final Euro 2012 dengan memainkan peranan besar dalam penentuan penalti ke atas Portugal semalam.
Pada Euro 2008 di Austria dan Switzerland, jaringan Fabregas membolehkan Sepanyol menyingkirkan Itali menerusi penentuan penalti pada suku akhir, sebelum dia membawa pasukannya merangkul kejuaraan.
Semalam, Fabregas memastikan kemaraan skuad La Roja ke final selepas menyempurnakan penalti terakhir mereka, mengetepikan Portugal menerusi keputusan 4-2 setelah perlawanan penuh berkesudahan tanpa jaringan.
"Saya mempunyai gerak hati bahawa kami akan melangkah jauh jika berjaya memperbaiki sepakan penalti dan itulah yang kami lakukan. Saya menunggu untuk sepakan kelima dan saya dapat rasakan bahawa saya akan menyempurnakannya.
"Terdapat banyak emosi (apabila melangkah untuk mengambil penalti),'' kata Fabregas.
Fabregas sepatutnya melakukan sepakan penalti kedua tetapi menawarkan diri untuk menjadi pemain kelima membuat sepakan.
Katanya: "Saya mempunyai gerak hati. Pembantu jurulatih Toni Grande memberitahu saya supaya bersedia untuk penalti kedua tetapi saya meminta dia meletakan nama saya dalam senarai kelima.
"Saya 'bercakap' dengan bola tolong jangan kecewakan saya."
Penalti Fabregas di Euro 2008 membolehkan mara ke separuh akhir bertemu Rusia, sebelum menumpaskan Jerman di final. Kemampuan Fabregas menjadi pengambil sepakan penalti yang tepat membolehkan dia digelar raja penalti oleh rakan-rakan sepasukan.
Sepanyol kini berpeluang untuk menjadi pasukan pertama merangkul tiga kejuaraan utama secara berturut-turut bermula dari Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.
Sementara itu pengurus Sepanyol, Vicente del Bosque mendedahkan, Fabregas sendiri yang telah meminta untuk mengambil sepakan penalti.
"Kesemua lima pemain yang mengambil sepakan, telah menawar diri untuk melakukannya. Cesc datang kepada saya dan memberitahu, saya mahu ambil tendangan yang kelima, sepakan yang akan memberi kemenangan,'' kata Del Bosque. - AGENSI

0 ulasan: