Memaparkan catatan dengan label bernama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bernama. Papar semua catatan

Anak Tukang Kayu Terima Anugerah Kecemerlangan Pada Konvokesyen PSP

BUKIT MERTAJAM, 5 Sept (Bernama) -- Anak kepada seorang tukang kayu menjadikan kesusahan ayahnya sebagai pembakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran.

Chiow Yi Han, 21, graduan Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan berkata kehidupan keluarganya yang susah banyak mendorongnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.95.

"Ayah saya, Chiow Choong Heng adalah tukang kayu dan menghasilkan perabot buatan sendiri bagi menyara kami sekeluarga manakala ibu, Tan Saw Chen membuka gerai menjual roti bagi menampung perbelanjaan.

"Sejak mula masuk ke PSP (Politeknik Seberang Prai) saya berazam untuk mengubah nasib kami dan hanya ada satu cara sahaja iaitu belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh kejayaan untuk mendapat pekerjaan yang baik," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Kurikulum PSP pada majlis konvokesyen.

Anugerah disampaikan Penasihat Khas Perdana Menteri bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Zainal Abidin Osman sempena Konvokesyen PSP Ke-15 di sini.

Seramai 1,432 pelajar menerima diploma masing-masing pada majlis yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Kurikulum, Azyzul Jamingan, 25, berkata beliau gembira dipilih menerima anugerah berkenaan dan berharap ia menjadi contoh terbaik kepada tiga adiknya yang lain.

Anak sulung itu berkata beliau tekad untuk berjaya bagi membantu meringankan beban keluarga kerana hanya ayahnya sahaja yang bekerja manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

"Bila rasa tertekan masa belajar, saya akan tidur dan bila bangun, selalunya saya lupakan masalah dan sambung ulang kaji seperti biasa.

"Saya kini sudah bekerja sebagai perancang produksi di Simpang Renggam, Johor dan berhasrat untuk menyambung pengajian jarak jauh (PJJ) selepas ini," kata graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Am.