Memaparkan catatan dengan label bharian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bharian. Papar semua catatan

Lelaki selamatkan isteri dan anak dari perompak


MANGSA dimasukkan ke ambulans sebelum dibawa ke hospital ketika kejadian di Taman Indah Jaya, Batu Empat, Sandakan. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
SANDAKAN: Tindakan berani seorang lelaki berjaya menyelamatkan isteri dan anaknya yang berada dalam kereta mereka dari dirompak oleh seorang lelaki di Lorong 62, Taman Indah Jaya dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Zabidi Md Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu tidak ada barang yang hilang dan mangsa adalah pasangan suami isteri berumur 35 dan 42 tahun.
Kejadian itu berlaku ketika si isteri hendak menghantar anaknya ke rumah pengasuh.
Menurutnya ketika masuk ke dalam kereta, seorang lelaki telah datang ke kereta wanita itu melalui sebelah penumpang bahagian hadapan dan bertanyakan di mana letaknya rumah seseorang yang ada disebut namanya.
Bila wanita itu menyatakan tidak tahu, lelaki itu masuk ke dalam kereta dan mengugut wanita itu supaya jangan berteriak kalau tidak mahu dicederakan, kata Zabidi.
Zabidi berkata si suami yang melihat kejadian dari rumah terus meluru ke kereta.
Lelaki itu bertindak memandu kereta itu untuk melarikan diri dengan wanita dan anaknya masih berada di dalam kereta.
Sebelum itu ia mengundurkan kereta dan melanggar pagar rumah hingga membolehkan wanita itu keluar dari kereta bersama anaknya.
Si suami kemudian bertindak memegang tengkok lelaki itu yang masih berada di dalam kereta, bagaimanapun lelaki itu dapat memandu kereta itu dan telah melanggar sebuah kenderaan lain yang di parkir di tepi jalan, katanya.
Beliau keluar dari kereta dan terus melarikan melarikan sebuah bas yang di parkir berdekatan.
Zabidi berkata polis yang bertindak selepas menerima laporan itu kemudian menemui bas berkenaan yang ditinggalkan di tepi jalan di Lorong 11 Taman Kenari di Batu 7.
Beliau berkata pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dalam keadaan stabil.
Menurutnya polis telah melancarkan gerakan memburu lelaki itu yang dipercayai warganegara Filipina berdasarkan pertuturannya ketika cuba melakukan rompakan.
Zabidi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi polis atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Saiful Adli di talian 013-5190045. - BERNAMA

Polis Thailand gagalkan cubaan seludup ganja ke Malaysia

SONGKHLA: Polis di wilayah Songkhla, Thailand, berjaya merampas 320 kg ganja yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia.
Mereka juga memburu dua lelaki yang disyaki warganegara Malaysia yang meloloskan diri selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas semasa dikejar oleh polis anti-narkotik Thailand.

Kolonel Polis Suriya Panyamang, Ketua Polis Daerah Baan Kelam, Songkhla, berkata kereta yang dinaiki oleh dua lelaki tersebut tidak berhenti untuk pemeriksaan polis.
Polis pencegah dadah mengejar kereta tersebut sehingga ia terbabas ke dalam parit tepi jalan dan dua orang lelaki melarikan diri dengan bantuan daripada kawan mereka yang menaiki sebuah lagi kereta yang digunakan sebagai pemerhati keadaan.

Dalam kereta terdapat ganja berat 320 kg dalam lapan bungkusan. Setiap satu bungkusan besar mempunyai 40 bungkusan kecil seberat satu kg.
Suriya berkata ganja tersebut bernilai lima juta baht dan jika dapat dibawa masuk ke Malaysia nilainya akan meningkat lebih 10 kali ganda.
"Ganja tersebut akan di bawa ke sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam oleh kumpulan peniaga dadah merentas sempadan yang aktif di kedua-dua negara," kata beliau.
Kata beliau lagi, polis percaya kumpulan tersebut mempunyai rangkaian yang besar. - BERNAMA


12 maut, polis bertempur dengan penunjuk perasaan di Nepal

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk lima anggota polis terbunuh apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan di Tikapur, di barat Nepal, kira-kira 800 kilometer di barat Kathmandu, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Bamdev Gautaum berkata, dalam sidang Parlimen pada Isnin, beberapa perusuh yang tidak terkawal dan penjenayah menyerang polis atas nama bantahan di Tikapur menyebabkan beberapa orang termasuk beberapa anggota polis terbunuh.

"Ia satu tindakan jenayah untuk menyerang polis dengan senjata berbahaya dan kami semua mengutuk tindakan ini," katanya.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan mendakwa pertempuran tercetus apabila polis melepaskan tembakan ke arah mereka yang mengadakan protes secara aman.

"Polis bertanggungjawab terhadap insiden itu kerana melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang membuat bantahan secara aman," kata anggota Parlimen Ram Janam Chaudhari, yang bersimpati dengan penunjuk perasaan, ketika ditemuramah menerusi telefon.
Anggota polis yang terbunuh dalam insiden itu ialah superintenden Laxman Neupane, inspektor Balaram Bista dan tiga konstabel iaitu Ram Bihari Chaudhari, Lokendra Chand dan Keshav Bohara.
Penunjuk perasaan terdiri daripada penduduk etnik Tharu yang menuntut wilayah autonomi untuk masyarakat etnik Tharu di barat Nepal.
Tetapi kerajaan dan tiga parti utama menentang pemberian autonomi kepada penduduk etnik Tharu.
Kerajaan telah mengisytiharkan perintah berkurung untuk tempoh tidak ditentukan selepas insiden tersebut dan mengharamkan rapat umum dan perhimpunan di Tikapur dan kawasan bersebelahan. - BERNAMA


Najib arah Kementerian Pendidikan pastikan keselesaan murid SK Sungai Besi




PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat SK Taman Sungai Besi Indah untuk meninjau kerosakan bangunan dan mendengar masalah mereka. - Foto ihsan Twitter Najib Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya mengambil pelbagai langkah segera bagi memastikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi di sini, dapat belajar dalam keadaan selesa.
Perdana Menteri dalam blognya berkata, langkah itu perlu selepas beliau meninjau sendiri keadaan SK Sungai Besi yang kini ditempatkan di kawasan perindustrian Sungai Besi sementara waktu.
"Saya ingin melihat murid-murid di sini belajar dalam keadaan persekitaran yang kondusif dan selesa.
"Selepas mendengar taklimat dan melihat sendiri keadaannya, saya telah mengarahkan, dengan segera, @Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan:
(i) keadaan lebih selesa di setiap bilik termasuk bilik perpustakaan.
(ii) kawasan lapang di pintu depan dilitupi 'awning' agar murid-murid dapat mengadakan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah serta memastikan mereka dilindungi daripada sinar matahari terik dan hujan,
(iii) ditambahkan bilik air bagi keselesaan pelajar dan kakitangan sekolah," katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya www.najibrazak.com, malam ini.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamad, akan melaksanakan kesemua di atas bagi keselesaan kakitangan dan murid-murid.
Katanya, Madinah akan melaporkan status kemajuannya kepada Perdana Menteri sehingga semua proses selesai.