Najib arah Kementerian Pendidikan pastikan keselesaan murid SK Sungai Besi




PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa melawat SK Taman Sungai Besi Indah untuk meninjau kerosakan bangunan dan mendengar masalah mereka. - Foto ihsan Twitter Najib Razak
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya mengambil pelbagai langkah segera bagi memastikan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi di sini, dapat belajar dalam keadaan selesa.
Perdana Menteri dalam blognya berkata, langkah itu perlu selepas beliau meninjau sendiri keadaan SK Sungai Besi yang kini ditempatkan di kawasan perindustrian Sungai Besi sementara waktu.
"Saya ingin melihat murid-murid di sini belajar dalam keadaan persekitaran yang kondusif dan selesa.
"Selepas mendengar taklimat dan melihat sendiri keadaannya, saya telah mengarahkan, dengan segera, @Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memastikan:
(i) keadaan lebih selesa di setiap bilik termasuk bilik perpustakaan.
(ii) kawasan lapang di pintu depan dilitupi 'awning' agar murid-murid dapat mengadakan aktiviti-aktiviti luar bilik darjah serta memastikan mereka dilindungi daripada sinar matahari terik dan hujan,
(iii) ditambahkan bilik air bagi keselesaan pelajar dan kakitangan sekolah," katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya www.najibrazak.com, malam ini.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamad, akan melaksanakan kesemua di atas bagi keselesaan kakitangan dan murid-murid.
Katanya, Madinah akan melaporkan status kemajuannya kepada Perdana Menteri sehingga semua proses selesai.

0 ulasan: