Polis Thailand gagalkan cubaan seludup ganja ke Malaysia

SONGKHLA: Polis di wilayah Songkhla, Thailand, berjaya merampas 320 kg ganja yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia.
Mereka juga memburu dua lelaki yang disyaki warganegara Malaysia yang meloloskan diri selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas semasa dikejar oleh polis anti-narkotik Thailand.

Kolonel Polis Suriya Panyamang, Ketua Polis Daerah Baan Kelam, Songkhla, berkata kereta yang dinaiki oleh dua lelaki tersebut tidak berhenti untuk pemeriksaan polis.
Polis pencegah dadah mengejar kereta tersebut sehingga ia terbabas ke dalam parit tepi jalan dan dua orang lelaki melarikan diri dengan bantuan daripada kawan mereka yang menaiki sebuah lagi kereta yang digunakan sebagai pemerhati keadaan.

Dalam kereta terdapat ganja berat 320 kg dalam lapan bungkusan. Setiap satu bungkusan besar mempunyai 40 bungkusan kecil seberat satu kg.
Suriya berkata ganja tersebut bernilai lima juta baht dan jika dapat dibawa masuk ke Malaysia nilainya akan meningkat lebih 10 kali ganda.
"Ganja tersebut akan di bawa ke sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam oleh kumpulan peniaga dadah merentas sempadan yang aktif di kedua-dua negara," kata beliau.
Kata beliau lagi, polis percaya kumpulan tersebut mempunyai rangkaian yang besar. - BERNAMA


0 ulasan: