Sekat Ronaldo

Sekat Ronaldo


Cristiano Ronaldo
GNIEWINO, Poland - "Kami akan memberikan 'layanan khas' kepada Cristiano Ronaldo." Itu janji jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque menjelang aksi separuh akhir Euro 2012 melibatkan kedua-dua pasukan, esok. Kerana bimbangkan ancaman Ronaldo juga, pemain La Roja, Xabi Alonso mengakui pasukannya menganalisis corak permainan Ronaldo. "Untuk pertemuan dengan Portugal, kami telah menganalisis corak permainan Cristiano Ronaldo dan sedikit penyesuaian akan dilakukan untuk mengawasi pemain ini.
"Namun ia akan dilakukan secara berpasukan kerana itu adalah cara terbaik untuk menyekat seorang pemain yang hebat,'' kata Alonso. Namun tegas bintang tengah Sepanyol itu, pasukannya akan kekal dengan gaya permainan mereka.
Menurutnya, Sepanyol akan beraksi seperti biasa biarpun ramai yang menganggap corak hantaran-hantaran pendek La Roja menjadikan perlawanan membosankan.
Selepas menyingkirkan Perancis 2-0 di suku akhir, juara Piala Dunia dan Eropah itu berdepan kritikan di Itali, manakala media pula menyifatkan mereka kurang bercita-cita tinggi untuk menyerang.
Sesetengah penonton di Arena Donbass, Donetsk mengejek pemain-pemain Sepanyol dalam perlawanan tersebut kerana gemar melakukan hantaran pendek sesama sendiri, bukannya mencipta gerakan pantas setiap kali mendapat peluang.
"Itu pendapat mereka dan ia sama seperti pendapat orang lain. Walau apa pun orang kata, saya tidak fikir kami akan berubah.
"Saya yakin kebanyakan peminat menikmati permainan bola sepak yang hebat. Ia bukan saja hebat ketika ini tetapi juga hebat pada masa akan datang,'' ujar Alonso.
Alonso, 30, yang menjaringkan kedua-dua gol Sepanyol ketika menumpaskan Perancis berkata, baik Portugal mahupun Jerman dan Itali mempunyai sikap suka menyimpan bola, mengawal permainan dan menyerang apabila ada peluang.
"Semua pasukan yang mereka kalahkan dalam laluan ke separuh akhir berhak kalah dalam perlawanan tersebut.
"Kami juga sentiasa mempunyai idea yang sama dengan pasukan-pasukan ini tidak kira siapa lawan yang ditentang, cuma gaya permainan masing-masing tidak sama," katanya. - AGENSI




0 ulasan: