Pusat undi berubah automatik


Pusat undi berubah automatik


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mewujudkan sistem pangkalan data sendiri bagi menangani isu pendaftaran bertindih atau pengundi mendaftar dua kali.

Menerusi sistem baru itu, pangkalan data SPR akan dihubungkan dengan beberapa agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan kawasan mengundi dan alamat pengundi sama. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pangkalan data terbabit akan dilengkapi perisian bagi membolehkan kawasan mengundi ditukar secara automatik jika alamat pengundi terbabit dikesan sudah berubah. 
Jumlah peratusan rakyat yang menetap tidak mengikut kawasan daftar mengundi sangat tinggi, sekali gus mencetuskan kontroversi pendaftaran bertindih atau pengundi mendaftar dua kali.

Ramai yang tinggal tempat lain, tetapi kawasan mengundi tempat lain. Contohnya, tinggal di Kuala Lumpur tetapi undi di Kelantan. Ketika ini, segala maklumat mengenai pengundi, kita bergantung sepenuhnya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Jika mereka ubah alamat tempat tinggal di kad pengenalan, tetapi tidak maklumkan kepada SPR, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana berdasarkan peruntukan undang-undang, pengundi perlu memohon kepada kita menukar alamat,” katanya kepada BH.

Berikutan itu, kata Abdul Aziz, SPR sedang mengkaji untuk mewujudkan pangkalan datanya sendiri bagi penambahbaikan jangka panjang. 
Usaha mewujudkan pangkalan data itu juga bertujuan menyelesaikan isu pengundi hantu seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

Ketika ini, SPR menggunakan Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) dengan JPN untuk urusan pendaftaran dan semak daftar.

Abdul Aziz berkata, SPR akan menjadikan sistem yang digunakan Singapura sebagai rujukan untuk mewujudkan pangkalan data pengundi baru.

“Di Singapura, apabila pertukaran alamat pengundi dikesan oleh mana-mana pangkalan data, ia akan segera memaklumkan kepada agensi pilihan raya negara itu dan secara automatik kawasan mengundi mereka juga akan diubah,” katanya.

0 ulasan: