Gelagat teruna berbelanja



SATU senario yang pastinya muncul tatkala menyambut perayaan utama di negara ini seperti Hari Raya Aidilfitri adalah tabiat membeli-belah di saat akhir di lokasi-lokasi tertentu yang pastinya menjanjikan ‘pulangan’ yang berbaloi untuk si ‘pelabur’.
Tanpa mengira peringkat usia mahupun kelompok tertentu, fiil tersebut diamalkan oleh semua bangsa kerana lazimnya produk yang dijual peniaga jauh lebih murah berbanding jika ia dibeli lebih awal.
Minggu ini, S3 mendekati sekumpulan anak teruna yang juga bekas peserta Mister Planet Malaysia 2014 dan 2015 yang bekerjaya sebagai peragawan sambilan untuk mengetahui keistimewaan dan juga keburukan tabiat tersebut.
Buat survey awal
Jejaka yang pernah menghiasi iklan komersial makanan segera, Alex Faizal memberitahu, dia lebih gemar membuat pemerhatian awal terutama mengenai lokasi membeli-belah yang menawarkan harga terbaik.
"Selalunya Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) menjadi pilihan jutaan warga kota dan ada juga yang sanggup datang dari jauh untuk berbelanja di sini.
Tidak dinafikan banyak pakaian murah di sini dengan kualiti pakaian yang bagus.
"Namun, saya lebih gemar untuk berbelanja di pusat beli-belah kerana lebih selesa," jelasnya yang akan pulang ke kampung ayahnya di Jasin, Melaka. - Alex Faizal, 29
Tidak kira waktu
Anak bongsu kepada penyanyi etnik Noraniza Idris ini iaitu Feeq Haiqal berkata, dia tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk membeli pakaian raya kerana beranggapan setiap kaedah ada kelebihan dan kekurangan.
Feeq yang juga usahawan produk kecergasan itu turut menggemari membeli-belah di penghujung waktu kerana menganggap harga yang ditawarkan tidak masuk akal. "Ia benar-benar murah. Boleh kurang sehingga 70 peratus daripada harga asal. Jika ditanya cara saya berbelanja, saya tidak mengira waktu asalkan ada masa, saya akan membeli-belah," katanya yang beraya di Kuala Lumpur. - Feeq Haiqal, 21
Keletah peniaga melucukan
"Kesesakan yang berlaku di pusat-pusat perniagaan tumpuan sebenarnya salah satu cara untuk menikmati kemeriahan lebaran terutama pekikan peniaga yang pelbagai ragam.
"Perkara yang menarik jika membeli-belah di kawasan tumpuan ini adalah melihat gelagat peniaga yang bermacam-macam ragam, sekali gus boleh menghiburkan serta melucukan.
"Saat tawar-menawar ketika membeli-belah sangat menyeronokkan kerana dari situlah kita melihat sejauh mana kehebatan kita mendapatkan sesuatu produk dengan harga paling rendah," ujarnya. - Yus Razali, 26
Hawa dingin jadi pilihan
Lain pula ceritanya dengan jejaka sasa ini, dia lebih suka membeli-belah di premis berhawa dingin kerana dia jenis yang cepat berpeluh dan akan mula berasa lengas jika baju mulai basah.
"Jika keadaan memaksa, barulah saya akan pergi ke tempat-tempat yang tidak berhawa dingin sekiranya saya tidak dapat mencari barang kesukaan saya di kompleks beli-belah.
"Itu adalah pilihan terakhir. Sebolehnya saya akan cari sampai dapat di mana-mana kompleks beli-belah. Tak jumpa juga, barulah saya meredah kesesakan orang ramai untuk mendapatkannya," katanya yang pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menyambut Aidilfitri. - Syazwi Nazri, 21
Berbelanja dengan mak abah
Menjadi anak manja kesayangan ibu dan ayahnya, si kacak yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi swasta ini memberitahu, dia lebih suka jika dapat menemankan orang tuanya berbelanja setiap kali menjelang raya.
"Maklumlah, saya penuntut sepenuh masa dan baru sahaja mengenali selok-belok dunia peragaan. Tanggungan masih di bawah abah dan sebab itulah saya memilih untuk bersama mereka ketika membeli-belah.
"Lagipun, kami duduk berjauhan. Keluarga di Yan, Kedah, manakala saya belajar di Cheras di sini. Inilah saatnya untuk meluangkan masa bersama mereka dan dapat berbuka puasa sama sebelum memulakan misi membeli-belah," katanya berseloroh. - Asrul Raihan, 23

0 ulasan: