Ziana Zain Kini Bertudung



Sejak kebelakangan ini, penampilan penyanyi terkenal Ziana Zain telah menjadi tajuk perbincangan ramai selepas penyanyi ini dikatakan telah berhijab. Namun, Ziana sendiri tidak mengesahkan perkara ini sehinggalah pada 15 Julai lalu apabila dia mengakui tampil dengan imej bertudung. 
 
Memetik laporan portal hiburan Murai, Ziana menjelaskan penghijrahannya di bulan Ramadan ini adalah kurniaan yang amat besar dan berkat doa yang telah dimakbulkan Allah SWT.
 
“Ini adalah hadiah yang Allah SWT berikan kepada saya, sebuah ganjaran yang dijanjikan setelah tidak putus-putus doa daripada peminat, kawan-kawan dan yang paling termakbul adalah doa kedua ibu bapa saya.
 
“Allah SWT telah berikan apa yang mereka semua pohon, sementara itu juga dibukakan pintu hati saya menerima syariat agama ini. Setelah beberapa tahun saya memasang niat, akhirnya hari yang dinanti sudah tiba. Perasaan yang datang itu bukan rasa yang biasa tetapi kuasa yang luar biasa," ujar Ziana yang mengharapkan hijrahnya ini kekal ke akhir hayat.
 
Dalam pada itu, Ziana menjelaskan karier seninya akan berjalan seperti biasa namun akan lebih menjaga penampilannya dengan sebaik mungkin. Ziana juga terharu dengan sokongan daripada keluarga terutama anak-anak dan mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada peminatnya.

0 ulasan: